Sepahit Madu..(^_^)


Awak sudi jadi isteri kedua saya?”
tanya Ammar tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!”
pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.
Mata Ammar liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.
Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…”
Fatimah mula sebak.
Tak. Maksud saya…”
Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!”
potong Fatimah dengan kasar.
Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?”
suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.
Ammar diam seribu bahasa. Dia sudah tahu ‘Fatimah’ di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.

Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Ammar seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.
Ammar muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.
Ada hikmah,”
bisik hati kecil Ammar, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Ammar sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.
Keyakinan serta keaktifan Ammar berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Ammar dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Ammar. Bagi Fatimah, Ammar seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Ammar melamarnya menjadi isteri kedua.
Ammar masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Ammar tersebut. Bagi Fatimah, Ammar tak ubah seperti lelaki lain.
Gerak kerja dakwah Ammar berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Ammar semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.
Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Ammar – sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Ammar.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Ammar dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Ammar sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Ammar menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?
Ammar bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.
Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Ammar berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Ammar mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.
Awak sudi jadi isteri kedua saya?”
tanya Ammartanpa segan silu.
Sudi,”
jawab Nusaibah ringkas.
Er, betul ke ni?”
tergagap Ammar menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.
Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Ammar.
Kenapa saya?”
tanya Ammar ingin tahu.
Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,”
jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
Baiklah,”
jawab Ammar tersenyum.
Akhirnya, Ammar dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.
Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Ammarterasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Ammar semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Ammar membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.
Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Ammar. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
Abang, saya nak tanya boleh?”
sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
Ye sayang?”
jawab Ammar sambil memandu.
Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,”
luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Ammar menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum. Yeke? Dia datang program tu rupanya,”
jawab Nusaibah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Ammar dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Ammar yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Ammar aktif dalam dakwah sebelum ini.
Kita dah sampai,”
Ammar membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya.
Ammar berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
Itu isteri pertama abang,”
Ammar menuding jari ke arah khemah tersebut.
Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Ammar.
Tak nampak pun,”
Nusaibah meninggikan sedikit tumit kakinya.
Siapa nama isteri pertama abang?”
Nusaibah sangat berdebar.
Ammar tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
Perjuangan,”
jawab Ammar.
***
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”
[QS al-Taubah 9:24]